Friday, October 29, 2010

Al-Quran Yang Menghidupkan



Al-Quran. Sekali pandang, nampak macam sebuah buku biasa.
Dibaca dengan pelbagai qiraat.
Dilagukan dengan pelbagai jenis tarannum.
Dihafal dari muka ke muka.
Itulah Al-Quran.

Tidak ada sebuah kitab (buku) yang menyamai Al-Quran. Nampak biasa, tetapi kandungannya luar biasa.
Ya. Kenapa luar biasa?
Kerana ia datang daripada Allah. Kalam (kata-kata) Allah Yang Maha Agung. Lantaran itu, isi Al-Quran itu begitu agung dan luar biasa.
Zaman berzaman telah berlalu sejak kewafatan Rasul s.a.w., penyampai wahyu daripada kalam Allah yang agung ini. Namun, Al-Quran terus dibaca dan dibaca dengan pelbagai jenis qiraat (bacaan) dan lagu tarannum. Dihafal dan dipelajari ilmu tentangnya. Isi kandungannya yang evergreen, sentiasa segar setiap masa dan zaman. Berulang-ulang kali dibaca tidak pernah menjemukan, bahkan menyemai rasa INGIN untuk membaca dan terus membacanya. [Read more...]


AL-QURAN YANG AGUNG ITU TIDAK PERNAH SAMA DENGAN YANG LAIN

Al-Quran itu ada segala-galanya untuk manusia.
Betul ke? Boleh percaya ke ni?
Pernah ada kisah, seorang ulama' ditanya tentang ayat Al-Quran yang menceritakan tentang kaedah membuat roti. Maka dijawab ulama' itu, "Ada ayat Al-Quran yang menceritakan tentang kaedah buat roti." Maka dibacakan ayat ini:

( óŸ ÇÍÌÈ   bqçHs>÷ès?wOçGYä. bÎ) ÌøكرÏe%!$#@÷dr&#þqè=t«ó¡sù Ÿ  t

Maksudnya : Maka bertanyalah pada yang lebih mengetahui jika kamu tidak tahu. 

Mana kaedah buat roti? Tak ada pun?
Kata ada...
Bacalah ayat tadi balik. Bukankah Allah dah bagi kaedah tu?
Tanyalah pada yang tahu jika kamu tidak tahu.
Itulah kaedahnya.

Oh, sudah tentulah Al-Quran tidak akan ceritakan semuanya secara detail kerana Al-Quran itu bersifat umum.
Kalaulah Al-Quran itu menceritakan semuanya secara detail, maka tidak terbaca agaknya kita ni.
Al-Quran yang 30 JUZ sekarang ini pun masih merangkak-rangkak nak dibaca dan difahami, inikan pula jika dimasukkan pula cara nak buat roti, nak buat buku, cara nak masak dan sebagainya.
Jika dimasukkan cara yang macam-macam tu, cara nak buat roti, nak buat buku dan sebagainya itu dalam Al-Quran, maka Al-Quran itu akan hilang luar biasanya, kerana seolah-olah menyamai buku resepi, buku-buku bacaan yang biasa dan sebagainya yang boleh dikarang oleh manusia.
Itulah yang membezakan Al-Quran dengan yang lain. Ia tidak bersifat lemah seperti buku-buku manusia. Ia KUAT dan AGUNG kerana ia datang daripada Allah.

IA DUSTUR TERBAIK SEPANJANG ZAMAN...

Dalam Al-Quran itu ada semua.
Ada kisah-kisah Nabi dan ummat-ummat terdahulu, penyemaian iman dan tauhid kepada Allah, pembentukan syakhsiah yang mulia, berita gembira ke syurga untuk mereka yang taat kepada Allah, peringatan keras ke neraka bagi mereka yang ingkar, penciptaan alam dan manusia serta bermacam-macam lagi hinggalah kepada panduan pembinaan daulah (negara) atau khilafah Islam yang sebenar yang dikehendaki oleh Allah.

Memang Al-Quran itu luar biasa. Tetapi sayangnya, kita ini selalu lupa untuk tadabbur dan mendalami ayat-ayat Allah ini. Susunan ayat serta maksudnya yang begitu mendalam dan memberi kesan pada jiwa kita ini selalu kita abaikan berbanding kita lebih suka membaca dan melagukan mengikut jenis lagu tarannum yang ada, mengikut imam-imam bacaan seperti Shuraim, Sudais, Ghamidi dan Masyari serta ramai lagi yang lain.
Kadang-kadang dipertandingkan Al-Quran melalui pertandingan hafazan dan tilawah Al-Quran.
Salah ke semua itu?
Ya...memang tidak salah.
Tetapi, salahnya adalah pada kelalaian kita mengabaikan masa untuk duduk sekejap serta benar-benar memahami ayat-ayat Allah s.w.t. ini dengan jiwa dan fikiran kita. Bagaimana memahami ayat-ayat Allah itu?
Cukupkah dengan membaca terjemahan atau maksudnya sahaja?
Oh, tidak cukup setakat itu...

Sahabat-sahabat Rasul s.a.w. adalah orang yang sentiasa menunggu penurunan ayat Al-Quran dengan iman mereka.
Menunggu dengan IMAN, apa maksudnya tu?
Digambarkan mereka ini umpama tentera yang sentiasa tertunggu-tunggu arahan dalam peperangan, maka apabila dapat arahan sahaja, maka mereka terus bertindak.
Itulah menunggu dengan iman. Mereka terima ayat Al-Quran dalam kondisi ingin beramal dan melaksanakan tuntutan ayat itu terhadap diri mereka. Lantaran itu, mereka ini berubah menjadi ummah terbaik dalam kalangan manusia dalam masa yang begitu singkat. Sebelum datangnya Islam dan Al-Quran, mereka adalah manusia yang mundur, menanam anak perempuan hidup-hidup, peperangan sesama kabilah, rompakan sebagai hasil hidup, pengamalan riba dan berbagai-bagai lagi yang jauh daripada kebenaran. Namun, Al-Quran itu mengubah apa yang ada dalam jiwa dan pemikiran mereka 360 degree.
Totally cara hidup mereka berubah daripada jahiliyah kepada Islam yang sebenar melalui proses didikan (tarbiyah) yang dilaksanakan Rasul s.a.w.

Kenapa mereka boleh berubah menjadi begitu luar biasa dan unik, tetapi tidak pada kita abad ini? Kerana cara pengambilan dan pemahaman yang berbeza daripada Al-Quran.
Mereka ambil dan pegang Al-Quran untuk diamalkan, dilaksanakan.
Kita ambil Al-Quran untuk dibaca, dilagukan, dijadikan dalil dalam tulisan dan ceramah atau kuliah kita, digantung di dinding rumah dan kedai, dijadikan pelindung daripada jin dan syaitan semata-mata.
Apa lagi...?
Maka bila kita jadikan Al-Quran sebagai dustur (perlembagaan atau perundangan) dalam hidup kita?



JANGANLAH MERENDAHKAN KEAGUNGAN KANDUNGAN AL-QURAN ITU

Al-Quran itu sesuatu yang teramat-amat besar. Salahlah jika kita mengambil Al-Quran sebagai perhiasan hidup semata-mata.
Anda faham apa yang saya maksudkan dengan perhiasan hidup?
Ya...macam yang saya sebutkan sebelum ini.
Apabila susah, barulah mula mencari Al-Quran. Umpamanya bila dirasuk jin atau syaitan, barulah mula terkapai-kapai mencari ayat Al-Quran.
Mencari ayat Al-Quran untuk dijadikan dalil semata-mata dalam hujah kita.
Gantung sebagai 'ayat pelaris' kononnya di kedai dan 'ayat pelindung' di rumah-rumah.
Dibaca tanpa dipelajari hukum tajwidnya, tanpa faham ayat itu.
Dibaca ketika kematian sahaja.
Dibaca dalam majlis-majlis tertentu sebagai mendapat keberkatan.
Kita telah mengecilkan fungsi Al-Quran itu. Menjadikan ia perhiasan semata-mata.
Perhiasan itu benda yang aksesori, ia adalah tambahan yang bukan keperluan, tetapi atas keinginan untuk jadi lebih cantik atau lebih bergaya.

Rugilah kita jika Al-Quran yang mulia dan agung itu dijadikan alat sampingan sahaja dalam kehidupan, sedangkan hakikatnya ia adalah keutamaan dalam hidup kita.
Umpama keperluan kita kepada oksigen, tiada oksigen, maka tiadalah kehidupan.
Umpama keperluan pokok kepada air dan cahaya matahari, tiadanya kedua-dua itu akan mematikan pokok.
Itulah hakikat Al-Quran, bila ia ditinggalkan atau diambil sebagai alat sampingan semata-mata, maka ia bakal mematikan hati. Ia menyebabkan hati kita ini tidak subur untuk terus taat kepada Allah, kerana kandungannya itu MENGHIDUPKAN IMAN dalam jiwa kita.

Kandungan Al-Quran itu universal, menyeluruh. Ia sempurna, lengkap dan menyeluruh sebagaimana Islam itu sendiri kerana ia telah tunjukkan dalam semua aspek kehidupan bagaimana untuk kita taat dan tunduk kepada Allah.
Ia telah tunjukkan kepada kita bahawa melalui jalan ekonomi itu, kita boleh jadikan ia sebagai ibadah kepada Allah.
Ia telah tunjukkan kita bahawa melalui jalan pentadbiran, sosial, siasah (politik) juga boleh jadi ibadah kepada Allah.
Ia tunjukkan kepada kita bahawa kebahagiaan hidup ini adalah pada redha Allah, bukan pada manusia.
Ia tunjukkan pada kita bahawa individu,keluarga dan masyarakat juga adalah wasilah mentaati Allah.
Bahkan, ia telah beri pengajaran dalam bentuk kisah kerajaan ummat-ummat terdahulu yang tidak taat kepada Allah. Ia juga nyatakan impak dan kesan pada mereka yang menjadikan seluruh kehidupan ini sebagai ibadah kepada Allah dalam bentuk berita gembira baik di dunia mahupun akhirat.
Ya, semuanya. Bukan sebahagian-sebahagian.
Al-Quran telah beri panduan dalam semua aspek kehidupan kita.
Sedarkah kita?

AL-QURAN ITU SEBENARNYA UBAT UNTUK PENYAKIT HATI

Hari ini, terzahir di depan mata kita pelbagai gejala dan jenayah yang timbul. Zina, couple, buang anak, ragut, bunuh dan sebagainya. Semua kejahatan ini tidak mungkin dilakukan melainkan dengan perintah nafsu yang mengawal hati. Penyakit hati yang timbul umpama hasad dengki, tamak, kedekut dan zalim, semuanya membawa kepada kemusnahan dan kejatuhan nilai masyarakat.
Nafsu mendorong seseorang untuk bermaksiat dan membuat kemungkaran.
Nafsu menyebabkan hilangnya rasa MALU kepada Allah s.w.t.
Nafsu mengakibatkan bencana hilangnya rasa TAKUT kepada Allah s.w.t.

Nafsu perlu dikawal. Bukan biarkan ia mengawal. Adanya nafsu menyebabkan kita mampu dan mempunyai keinginan untuk makan, berkahwin, dan melakukan apa-apa kerja. Tiadanya menyebabkan hilanglah deria keinginan untuk melakukan semua itu. Tetapi, perlu diingat, nafsu yang dibiarkan mengawal diri, akan mengakibatkan kita melakukan lebih dari apa yang telah Allah tetapkan, mengakibatkan kita ingkar dan melakukan dosa.

Sebab itulah Allah berikan Al-Quran kepada kita. Kerana Allah Maha Mengetahui hamba-hambaNya ini lemah dan kerdil. Mudah kalah pada hasutan nafsu dan syaitan jika tidak diberi bimbingan dan panduan.
Allah telah firmankan dalam surah Al-Isra', 82  yang bermaksud:

"Dan Kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman."

Al-Quran itu akan menjadi penawar dan ubat kepada hati kita jika kita benar-benar inginkannya. Sebab itulah Allah sebutkan dalam ayat ini "....bagi orang-orang yang beriman." kerana sifat IMAN itu ia sentiasa suka apa sahaja yang datang daripada Rabbnya, yakni Allah s.w.t.

Kata Ibn Qoyyim Al-Jauzi dalam Tibb Al-Qulub :

"Isi kandungan Al-Quran apabila difahami sebenar-benarnya dapat menjauhkan kita daripada terjerumus ke dalam lembah kehancuran. Ia juga ibarat penawar atau rawatan yang dapat menyembuh pelbagai jenis penyakit hati."

PENUTUP : MANFAATKANLAH KALAM ALLAH ITU

Dalam satu penyampaian daripada murabbi saya, Ust Omar Hj Salleh, beliau pernah menyebut:

"Nak dapat HIDAYAH ALLAH itu, maka kita perlu mendekati Al-Quran dengan hati yang BERTAQWA, bukan dengan hati yang لهو atau lalai."

Ya. Al-Quran itu kunci kepada pintu untuk kita mendapat hidayah Allah. Hidayah Allah tidak akan diperoleh melainkan kepada siapa yang Allah nak beri. Tapi, perlu kita ingat...
Allah beri hidayah kepada yang betul-betul berhajat dan berusaha mencarinya. Bukan duduk rehat kemudian berharap hidayah datang padanya, maka hidayah Allah bukanlah seperti itu. Sesiapa yang berhajat, maka dia perlu mencari dan terus mencari.

Dan...
Al-Quran itu ada semuanya untuk kita. Pernahkan kita mengkaji dan memikirkannya?

1 comments:

Syed Ahmad Fathi October 29, 2010 at 1:12:00 PM GMT+8  

Moga kita dapat istiqamah menghidupkan kehidupan harian seiring dengan Al-qur'an.

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP